MaMa~MuJaHiDaH~~My BrEaStFeEdInG mEMoRyZZZ

Tuesday, 1 January 2013

kebaikan susu ibu kepada ibu & bayi


Susu ibu merupakan nutrisi yang terbaik dalam membentuk tumbesaran dan perkembangan bayi. Terlalu banyak kebaikan yang tidak dapat dihuraikan dalam satu entri sahaja. Susu ibu jika digunakan sepenuhnya, ia membantu mengurangkan kadar kematian bayi yang tinggi terutama di negara-negara yang membangun. Walaubagaimanapun anda ataupun ibu-ibu di luar sana mungkin masih lagi tidak menyedari kelebihan susu ibu anugerah tuhan.

Mengapa ingin mencari susu formula sedangkan susu ibu adalah percuma? Terdapat banyak sebab yang melanda terutama kepada ibu-ibu yang berkerjaya. Antara sebab utama ialah kekangan masa dengan kerja. Terlalu sibuk sehingga tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Walhal sebagai ibu, anda patut melihat setiap inci perkembangan anak anda.

 Kandungan protein yang tinggi.


  • Susu ibu mempunyai kandungan protein ‘whey’ iaitu sejenis protein yang mudah diserap oleh usus badan. Nisbahnya adalah 70(whey):30(kasein). Tidak seperti susu formula, nisbah protein ‘whey’ dan kasein adalah rendah. Protein yang mudah diserap, akan digunakan sepenuhnya di dalam pembesaran bayi.


 Mempunyai antibodi dalam memerangi jangkitan.


  • Susu ibu juga mempunyai antibodi yang bertindak sebagai ‘pertahanan pertama’ di dalam badan. Apabila terdapat jangkitan, badan kita mempunyai 3 lapisan pertahanan dalam memerangi jangkitan tersebut. Bolehkah susu formula melakukannya? Sudah tentu tidak. Belum ada susu formula yang memberikan antibodi yang terbaik seperti yang dapat diberikan oleh susu ibu.


 Mengurangkan jangkitan usus.


  • Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bayi yang didedahkan dengan susu formula lebih awal berisiko untuk mendapat jangkitan usus seperti cirit-birit dan sebagainya. Susu ibu terbukti di dalam kajian mencegah jangkitan usus ini diperingkat bayi.


4. Menguatkan hubungan antara ibu dan bayi.


  • Di sini, kasih sayang antara ibu dan anak akan terbentuk akibat hormon yang dihasilkan di dalam badan. Bayi yang menggunakan susu formula, mungkin agak sukar untuk ibu membentuk ikatan bersama anaknya. Ia bagaikan satu bentuk semulajadi yang sangat kita perlukan dan tidak memerlukan teknologi untuk mencapainya.


 Meningkatkan perkembangan mental kanak-kanak.


  • Terdapat kajian yang menunjukkan IQ kanak-kanak yang berumur 7 hingga 8 tahun yang mempunyai sejarah menyusu badan lebih dari 6 bulan adalah lebih tinggi daripada kanak-kanak yang menyusu kurang daripada 6 bulan. Semestinya kita mahukan yang terbaik untuk anak kita bukan? Lebih-lebih lagi ibu-bapa sekarang sangat mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka.


 Kurang berisiko untuk mendapat alahan.


  • Ramai kanak-kanak di zaman moden ini mempunyai alahan seperti asma, alahan makanan, yang menyebabkan kulit gatal-gatal dan kemerah-merahan. Dengan penyusuan badan lebih daripada 12 minggu di dalam keluarga yang mempunyai sejarah alahan kadar berlakunya alahan terhadap bayi adalah lebih rendah daripada menggunakan susu formula.


Maka apa yang perlu anda lakukan?

Sebaiknya, anda harus memberikan susu badan secara eksklusif tanpa campuran susu formula sekurang-kurangnya 6 bulan. Dan itu yang terbaik dan kemudian, anda digalakkan untuk menggunakan susu formula kerana terdapat nutrisi-nutrisi yang diperlukan tidak ada pada susu ibu. Susu ibu merupakan makanan ajaib yang tuhan berikan kepada kita untuk digunakan sebaiknya dan kenapa kita di zaman kini mengabaikannya? Fikir-fikirkan...


Selain kebaikan kepada bayi, ibu yang menyusui bayi mereka turut mendapat manfaatnya. Antara kebaikan penyusuan ibu kepada ibu itu sendiri adalah seperti yang berikut...




  • Penyusuan susu ibu membantu meningkatkan ikatan antara ibu dengan bayi. Sentuhan antara ibu dengan bayi, berada rapat semasa penyusuan dan masa yang dihabiskan bersama-sama semasa menyusu merupakan saat indah bagi setiap ibu. Sebenarnya terdapat hormon yang dikeluarkan semasa penyusuan yang membantu meningkatkan ikatan dan perasaan keibuan ini.

  • Semasa menyusui bayi, hormon prolaktin dan oksitosin akan dirembeskan dalam tubuh ibu. Fungsi utama hormon ini adalah untuk memastikan penghasilan dan pengeluaran susu. Dalam masa yang sama, hormon ini mampu menyebabkan ibu berasa tenang. Kesannya, ibu yang lebih tenang akan lebih bersedia untuk menyusui dan menjaga bayi mereka. 

  • Hormon oksitosin juga akan bertindak ke atas rahim ibu dan mempercepatkan pengecutan rahim. Keadaan ini akan mengurangkan risiko pendarahan yang banyak selepas bersalin. Dengan itu, risiko bagi ibu untuk mengalami anemia atau kekurangan sel darah merah akan berkurangan.

  • Ibu memerlukan tenaga yang banyak bagi menghasilkan susu untuk menyusui bayi mereka. Lemak yang banyak terkumpul dalam tubuh ibu semasa hamil akan dibakar untuk menghasilkan tenaga untuk digunakan dalam penghasilan susu. Oleh itu, ibu yang menyusui bayi mereka terutamanya secara eksklusif selama 6 bulan pertama berjaya mengurangkan berat tubuh dengan lebih cepat berbanding ibu yang tidak menyusui bayi mereka. Keadaan ini penting kerana ia dapat mengurangkan risiko untuk ibu mengalami masalah obesiti selepas bersalin.

  • Hormon yang dirembeskan semasa menyusui bayi juga dapat mengelakkan ibu daripada menjadi subur. Malahan ramai ibu yang tidak didatangi haid semasa mereka menyusui bayi. Walaubagaimanapun tempoh ketidaksuburan ini berbeza bagi setiap ibu. Hanya ibu yang menyusui bayi mereka secara eksklusif, bayi berusia 6 bulan ke bawah dan ibu masih belum didatangi haid selepas bersalin yang boleh menggunakan kaedah penyusuan ini sebagai satu kaedah untuk merancang keluarga. Kaedah ini mempunyai kadar kejayaan yang tinggi iaitu lebih kurang 98 peratus sekiranya semua kriteria tersebut dipenuhi.

  • Selain kesan yang dapat dilihat segera seperti yang telah dibincangkan, penyusuan susu ibu juga mempunyai kesan jangka panjang ke atas ibu. Ibu yang menyusui bayi mereka sehingga sekurang-kurang dua tahun pula akan mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih rendah. Ibu yang menghidap diabetes dan menyusui bayi didapati memerlukan dos insulin yang lebih rendah untuk merawat penyakit mereka. Selain itu, risiko osteoporosis juga akan lebih rendah dalam kalangan ibu yang menyusui bayi mereka. 




No comments:

Post a Comment