MaMa~MuJaHiDaH~~My BrEaStFeEdInG mEMoRyZZZ

Thursday, 5 September 2013

Hukum - Hakam Anak dan Ibu Susuan

SUSUAN DAN KONSEPNYA
PENDAHULUAN

Penyusuan merupakan suatu amaln masyarakat sebelum dan selepas kedatangan Islam.Penyusuan merupakan perbuatan menghisap tetek dan meminum susunya. Ia pula telah ditetapkan oleh syarak dengan perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan susu seseorang perempuan ataau susu yang masuk ke dalam perut yang boleh memberi kesan kepada otak kanak-kanak.Islam tidak mengharamkan amalan penyusuan tersebut malah memperakuinya kerana melalui penyusuan susu ibu dapat menghalang bayi atau kanak-kanak daripada penyakit kerana susu ibu mempunyai antibodi yang kuat untuk menghalang penyakit. Hukum bagi penyusuan adalah harus. Agama Islam menggalakkan penyusuan tetapi tidak mewajibkan ibu-ibu untuk menyusukan anak-anak mereka mahupun anak-anak orang lain yang menjadi susuannya. Hal ini kerana penyusuan boleh diamalkan sekiranya ibu susuan itu sihat, jika sebaliknya maka tidak dapatlah dia menyusukan anak tersebut. Bagi perempuan yang ingin menyusukan anaknya hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.Begitu juga dengan pengharaman disebabkan susuan. Terdapat syarat-syarat yang menjadikan anak susuan sebagai mahram. 
PENYUSUAN

Takrif Penyusuan

Penyusuan daripada segi bahasa ialah nama perbuatan menghisap tetek dan meminum susunya.

Penyusuan daripada segi istilah syarak pula ialah nama perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan susu seseorang perempuan atau susu yang masuk ke dalam perut atau mengesani otak seseorang kanak-kanak.

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Daripada segi syarak, hokum seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus.Ini kerana ia telah diamalkan sebelum dan selepas kedatangan Islam.Islam memperakuinya dan tidak mengharamkannya. Ini kerana dalam sesetengah keadaan ia memberikan kebaikan dan memenuhi keperluan tertentu seperti ketika ibu bayi etrsebut meninggal dunia ataupun ibu tersebut menghidap sakit yang menghalangnya daripada menyusukan anak. Keadaan ini memerlukan wanita lain menyusukan anak. Keadan ini memerlukan wanita lain menyusukan anaknya bagi meneruskan survival anak tersbut.

Dalil Harusnya Penyusuan

Dalil harusnya penyusuan ialah firman Allah s.w.t.:
وإن تعا سرتم فسترضع له أجري (6)
Maksudnya:
Dan sebaliknya jika kamu (daripada kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.


Susuan Dan Konsepnya

عن إبن عباس أن النبي صلى الله عليه وسلم أريد على إبن حمزة فقال: أيها لا تحل لى أنها إبنة أخى من الرضاعة ما يحرم من الرحيم.
Maksudanya:
Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya nabi s.a.w. hendak dijodohkan dengan puteri Hamzah. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia tidak halal bagiku. Sesungguhnya dia adalah saudara susuanku. Pengharaman tersebut sama seperti nasab keturunan.

Sebab Keturunan

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ali bin Abi Talib, katanya: beliau pernah bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, kenapa engkau tidak mengahwini puteri bapa saudara kamu? Ia merupakan wanita tercantik dari kalangan gadis quraisy. Baginda bersabda sebagaimana aku maklumi dan aku ketahui sesungguhnya Hamzah itu adalah saudara susuanku. 

Manakala hadis yang diriwayatkan oleh ahmad, abu Daud, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Ali berkata: tatkala kami meninggalkan Makkah selepas mengerjakan umrah, kami diikuti oleh puteri Hamzah yang memanggil: wahai pak cik! Pak cik! Lalu aku membawanya kepada Fatimah, lalu aku berkata: ambillah puteri pak cikmu ini. Setelah kami tiba di Madinah aku (Ali), Jaafar dan Zayd bin Harithah berselisih untuk menjaganya. Jaafar berkata: (aku lebih berhak menjaganya) dia adalah puteri pak cik ku dan mak ciknya ada bersama denganku iaitu Asma’ binti Umais. Zayd pula berkata: ia puteri saudaraku. Ali pula berkata: aku yang mengambilnya dan ia juga puteri pak cikku. Rasulullah menyelesaikan pertikaian kami dengan sabdanya: adapun engkau wahai Jaafar sifat dan fizikal engkau menyamai sifat dan fizikalku. Engkau pula wahai Zayd sebagaimana diriku (pembantuku) dan aku sebahagian darimu dan saudara kami milik kami. Puteri ini kedudukan penjagaan dibawah mak ciknya kerana kedudukan mak cik seperti ibu. Ali berkata: wahai Rasulullah, kenapa engkau tidak mengahwini saha dia? Sebagaimana hadis tersebut.

Huraian Ringkas

Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi pernah dipelawa mengahwini anak perempuan Hamzah bin Abdul Muttalib, namun Baginda menjelaskan bahawa puteri hamzah haram untuk dikahwininya. Kerana gadis itu adalah mahramnya, ia adalah pula anak kepada saudara Hamzah yang merupakan saudara susuannya. Oleh itu, anak perempuan Hamzah dikira sebagai anak susuan Baginda. Ia haram dikahwini sebagaimana haram mengahwini anak saudara disebabkan hubungan nasab atau hubungan keturunan. 


Konsep Susuan

Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi bersabda: sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram. 

Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan. 

Syarat Menjadi Anak Susuan Dan Mahram

Penyusuan yang diharamkan atau dikira menjadi mahram ialah dengan mempunyai beberapa syarat dan rukun:-
I. Penyusuan.
Mengenai dengan orang yang menyusukan anak ada tiga syarat iaitu pertama penyusu mestilah seorang wanita. Iaitu susu binatang dan susu lelaki tidak menjadi hubungan mahram. Manakala yang kedua pula, wanita yang masih hidup. Sekiranya anak kecil menyusu kepada wanita yang telah mati atau diperah susu daripada wanita yang telah mati itu, maka tidak menjadi hubungan mahram. Menurut pendapat Iman Syafie dan pendapat yang sah, susu wanita yang diperah sewaktu dia masih hidup, kemudian diberi kepada anak selepas wanita itu mati maka ia dikira menjadi mahram. Dan syarat yang ketiga ialah penyusu adalah seorang wanita yang berkemungkinan dapat melahirkan anak. Sekiranya penyusu seorang wanita yang berusia kurang daripada 9 tahun maka susunya tidak menyebabkan haram. Namun begitu, sekiranya wanita tersebut berusia 9 tahun, penyusuanya itu menyebabkan haram sekalipun ia belum baligh. Ini berkemungkinan baligh atau mencapai usia baligh sudah ada dan berlaku.

II. Air susu.
Susu yang diberikan kepada anak tersebut tidak semestinya kekal dalam keadaan asal sebagaiman ketika ia diambil atau diperah daripada tetek ibu. Ia tetap dikira susu dan menyusu walaupun air susu tersebut berubah atau berubah menjadi keju atau mentega, susu masam atau yogurt dan seumpamanya. Kepentinganya sebagai minuman atau makanan yang masuk kedalam rongga serta perut anak tersebut dan mengeyangkan ia dikira mengharamkan.
Sekirangnya susu tersebut dicampur atau bercampur dengan benda lain seperti air atau roti. Ia hendaklah dinilai kandunganya, sekiranya susu ibu lebih banyak berbanding benda lain, ia dikira haram.

III. Tempat susuan.
Yang dimaksudkan dengan tempat susuan ialah perut bayi yang masih hidup. Iaitu air susu tersebut masuk kedalam rongga dan perut besar bayi. Sama ada dengan cara hisapan dengan mulutnya sendiri pada tetek atau dituangkan kedalam mulutnya atau diperahkan, kemudian dituangkan ke dalam mulutnya atau melalui rongga hidungnya dan lain yang seumpamanya. Jia bayi tersebut minum atau disusukan kemudian ia muntah waktu itu juga maka ia dikira tidak haram.

IV. Anak yang disusukan semasa hidup.
Tidak ada kesan sekiranya yang disusui itu adalah anak yang telah mati.

V. Usia anak dan tempoh penyusuan.
Ulama’ berpendapat apabila seorang wanita menyusukan seorang anak dengan susunya maka anak yang disusuinya itu dikira sah menjadi anak susuanya dengan dua syarat. Pertama anak yang disusui berusia kurang dari dua tahun. Sekirangnya anak itu berusia dua tahun lebih maka penyusuan itu tidak ada apa-apa kesan pada mahram. Perkiraan dua tahun itu adalah menurut kiraan bulan hijrah. 
Syarat yang kedua pula mestilah penyusuan anak tersebut sekurang-kurangnya lima kali yang mengenyangkan dan secara berpisah-pisah.

Kesan Penyusuan 

Berkaitan kesan yang lahir atau terbentuk akibat penyusuan ialah :
i. Menjadi mahram seperti mahram nasab.
ii. Pengharaman sebab susuan ada tujuh iaitu:
a. Ibu saudara susuan
b. Saudara perempuan susuan (adik beradik susuan).
c. Anak perempuan susuan.
d. Emak saudara susuan sebelah ibu.
e. Anak perempuan daripada saudara lelaki (anak saudara susuan kepada adik beradik lelaki).
f. Anak perempuan daripada saudara perempuan (anak saudara susuan kepada adik beradik perempuan.)

Hak Penyusuan

Penyusuan merupakan hak anak, yang juga merupakan salah satu daripada hak hadhanah atau penjagaan terhadapnya jika berlaku perceraian antara ibu bapa. Selain itu penyusuan menjadi tanggungjawab ibu dan bapa menunaikannya sehingga masa tertentu.

Ulama’ berselisih pendapat tentang tanggungjawab dan kewajipan menyusukan anak iaitu:
i. Menurut ulama’ Syafie, tanggungjawab menguruskan penyusuan dan menyusukan anak adalah tanggungjawab bapa atau suami. Ia, merupakan salah satu daripada nafkah yang wajib terhadap dirinya untuk anaknya. Namun begitu, menurut ulama’ Syafie, ibu wajib memberikan susuan pertama atau hisapan pertama yang berlangsung sekitar tiga hingga tujuh hari. Susu pekat berwarna kuning yang terkeluar daripada tetek ibu sepanjang tempoh tersebut dikenali sebagai laba’. Telah disahkan oleh doktor bahawa susu yang keluar untuk tempoh itu amat penting untuk kesihatan dan ketahanan dan antibodi anak. Antara lain ia kaya dengan khasiat dan zat lain yang khusus untuk anak yang baru lahir. 
Selepas susuan pertama itu ibu tidak wajib dan ia tidak boleh dipaksa untuk menyusukan anaknya khasnya ibu yang tidak sihat dan sibuk berkerja diluar. Namun Islam menggalakkan ibu menyusukan sendiri anaknya.

ii. Menurut sebahagian ulama’ Maliki, tanggungjawab menyusukan anak adalah menjadi tanggungjawab ibu. Iaitu dengan syarat ibu itu sihat dan tiada halangan dan masalah yang menyebabkan ia tidak boleh menyusu dan ia pula tidak daripada kalangan orang yang senang. Iaitu tidak mampu untuk mengupah orang lain untuk menyusukan anaknya.
Seandainya ibu itu sakit dan dia tidak mampu menyusukan anaknya, waktu itu kewajipan tersebut berpidah kepada suaminya agar ia berusaha supaya dapat mencari ibu susu atau mengupah orang lain menyusukan anaknya.

iii. Menurut ulama’ Hanafi, kewajipan ibu atau tanggungjawab penyususuan terhadap ibu sekiranya ia tidak dapat mengusahakan orang lain untuk menyusukan anaknya. Iaitu anaknya tidak sesuai dengan susu orang lain atau susu lain atau tidak ada ibu susuan serta kesulitan orang lain.

Upan Menyusukan

Sudah menjadi adat dimana ibu menyusukan anak-anak, kecuali segelintir ibu yang tidak sihat atau sibuk bekerja diluar. Menyusukan anak adalah suatu fitrah yang dikurniakan oleh Allah terhadap ibu dengan rasa ikhlas mereka menerima tanggungjawab tersebut selama dua tahun. 

Konteks upah menyusukan anak ditanggung oleh bapa atau suami. Menyusu itu adalah hak anak sama ada ia mempunyai bapa atau bapanya meninggal dunia ketika ia masih bayi. Begitujuga isteri atau ibu hendaklah menyusukan anaknya sama ada ia bersuami, atau kematian suami atau diceraikan oleh suaminya. Sekiranya ibu yang diceraikan oleh suaminya menyusukan anak, suami hendaklah membayar upah kepada isterinya yang merupakakan tanggungjawabnya menyara nafkah anak tersebut. 

Sebagai rumusan berkaitan penyususuan dan upah menyusukan secara ringkasnya ialah:
a. Penyusuan dan tempoh menyusu paling lama selama dua tahun menurut kiraan tahun hijrah.
b. Jika ibu berpisah atau diceraikan oleh suami, ia boleh menyusukan anaknya dengan dibayar upah atau diupah orang lain untuk menyusukan anak tersebut.
c. Ketika dalam tempoh menyusu saran dan nafkah untuk anak dan ibu atau ibu susuan adalah menjadi tanggungjawab suami.
d. Sekiranya bapa atau suami kepada anak yang disusui meninggal dunia maka upah menyusu ditanggung oleh waris.
e. Sekiranya berlaku perceraian antara pasangan dan ibu kepada anak menyusukan anaknya sendiri. Maka ia mestilah diberi upah yang setimpal oleh bekas suaminya atau pihak waris. Bagi perempuan yang menyusukan anaknya sendiri tidak boleh meminta upah yang berlebihan dan terlalu tinggi sebagai upah menyusu daripada bekas suaminya atau pihak waris suaminya.
f. Melalui persetujuan ibu susu atau ibu dan bapa, anak boleh dihentikan daripada penyusuan walaupun belum cukup tempoh dua tahun.
g. Sekiranya ibu tidak dapat menyusukan anaknya sendiri disebabkan ada halangan atau bapa tidak mahu ibu sendiri menyusukan anaknya. Ayah atau suami boleh mencari ibu lain menyusukan anaknya dengan bayaran menurut persetujuan.

Kepentingan Susu Ibu

Susu ibu mempunyai kaitan dengan pembentukan akhlak, pemdidikan serta kemesraan dan kasih sayang seorang ibu dengan anak-anak mereka. Antara kepentingan susu ibu dalam pembentukan serta pertumbuhan rohani dan jasmani anak-anak ialah:
1. Susu ibu adalah makanan yang lengkap serta sempurna untuk rohani dan jasmani anak-anak antaranya ialah lahir kasih sayang antara anak dan ibu.
2. Susu ibu amat diperlukan oleh bayi bagi tujuan pembesaran. Ini kerana susu ibu mengandungi protein dan kolestrol. Yang mana dalam kolestrol itu mengandungi air, lemak, zat dan vitamin yang lengkap.
3. Penyusuan anak-anak dengan susu ibu merupakan makanan yang terbaik untuk anak-anak. Hal ini telah disepakati oleh agama dan doktor. Bagi ibu yang tidak menyusukan anak-anaknya akan menimbulkan kesan sampingan sama ada terhadap anak-anak dan kesihatan ibu itu sendiri. Contohnya ibu tersebut mudah terdedah kepada barah payu dara dan anak-anak pula kurang antibodi dan alahan.
4. Mudah untuk disediakan dimana ia dapat disediakan pada bila-bila masa tanpa perlu alat-alat tampahan dan paling ringkas menjimatkan.

Hukum Penyusuan

Antara hukum yang diistimbatkan ialah: 
i. Ibu hanya dibenarkan menyusukan anak-anak dalam tempoh dua tahun sahaja.
ii. Batasan dan pengharaman yang berlaku terhadap ibu bapa dan adik beradik sebenar sama dengan pengharaman terhadap anak-anak dan adik beradik susuan.
iii. Seseorang yang berkahwin dengan saudara susuannya yang tidak wajib diketahui, namun setelah mereka mengetahui hakikat tersebut wajib berpisah.
iv. Perempuan tidak boleh dituduh sebagai penzina atau dikenakan hudud kiranya ia melahirkan anak berusia enam bulan.
v. Imam Abu Hanifah berpendapat tempoh paling lama harus menyusu selama 30 bulan.Iaitu denagn mengambil kira semasa dalam kandungan., iaitu sekurang-kurangnya tempoh mengandung selama enam bulan dan selepas melahirkan selama 24 bulan.

Pengajaran Hadis

Antara pengajaran hadis ialah:
i. Tempoh mengandung anak yang paling pendek ialah selama enam bulan .
ii. Susu ibu penting terhadap kesihatan dan rohani anak-anak.
iii. Ganjaran pahal yang besar disediakan kepada ibu-ibu yang menyusukan anak-anak mereka, khasnya susuan pertama dan mula-mula bayi dilahirkan.
iv. Susuan pertama yang keluar sekitar 3 hingga 7 hari disahkan oleh doctor adalah penuh dengan antibodi dan protein dan khasiat lain yang dikhaskan untuk bayi tersebut. 
v. Ibu yang menyusukan anaknya merupakan ibu yang sebenar dan bertanggungjawab penuh terhadap anak-anak mereka yang diibaratkan sebagai pejuang.
vi. Susu ibu merupakan susu penuh khasiat untuk pertumbuhan dan psikologi anak-anak mereka. Khasnya susu ibu itu dapat menyelamatkan alahan, sakit perut, gangguan sakit perut, ketidakhadaman makanan serta cirit-birit.
vii. Menyusukan anak menyebabkan ibu kembali kepada kesihatan dan elok perjalanan darah serta menyegerakan pengucupan rahim.

PENUTUP

Amalan penyusuan oleh ibu-ibu terhadap bayi mereka mahupun bayi orang lain adalah dibenarkan mengikut syarak. Namun, penyusuan adalah hak yang perlu diberikan kepada ibu sekiranya dia meminta. Ia bukanlah suatu kewajibannya. Dia tidak diwajibkan sekiranya dia tidak mahu melakuannya melainkan ketika tiada pilihan lain dan hanya dia sahaja yang boleh menyusukan. Ketika itu, penyusuan adalah kewajibannya disebabkan faktor dharurah. Oleh itu suami tidak dibenarkan memaksa isterinya menyusukan anak mereka.Jika suami memaksa isteri melakukannya sedangkan dia enggan, dia tidak dianggap mengingkari dan menderhakai suaminya kecuali jika tidak ada seorang wanita pun yang sesuai untuk menyusukan anak mereka selain isterinya. 

Keadaan ini membolehkan suami memaksa isterinya demi menjaga kehidupan anaknya itu. Penyusuan memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan iaitu anak yang disusukan haram berkahwin dengan ibu susunya. Dia juga haram berkahwin dengan beberapa golongan daripada ibu susunya. Konsep susuan pula ialah syarat telah menetapkan jumlah susuan dan hisapan tertentu yang menyebabkan menjadi mahram iaitu lima kali susuan yang mengenyangkan. Secara kesimpulannya, amalan penyusuan ibu terhadap bayi mereka adalah amat digalakkan sebagaimana yang dinasihatkan doktor kepada ibu yang melahirkan anak. Hal ini kerana susu ibu merupakan makanan yang lengkap yang dapat mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak. Selain itu, susu ibu diperlukan oleh bayi bagi tujuan tumbesaran dan dapat menghalang penyakit kerana susu ibu mengandungi antibodi. 



RUJUKAN

1) Sheikh Abdullah Basmeih , Mushaf Malaysia Rasm Uthmani, Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran (30 juzu’), Dar A-Kitab, Malaysia cetakan ke 12, 2001.

2) Ustaz Abdul Latif Bin Muda, Huraian Hadis-hadis Hukum, Pustaka Salam Sdn. Bhd., 2001.


3) Terjemahan Shahih Muslim, Kh. Adib Bisri Musthofa, Victory Agencie, Jilid 2, Cetakan Pertama 1999.